9 Tandatangan Gabenor Pada Wang Kertas Ringgit Malaysia Dulu Sehingga Kini

Gabenor Bank Negara Malaysia adalah jawatan ekonomi tertinggi Malaysia. Gabenor BNM merupakan ketua seluruh institusi kewangan di Malaysia. Beliau menjalankan urusan dan hal ehwal bank mengikut dasar yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah BNM.
 

 
Berikut dikongsikan informasi, sejarah, gambar, senarai nama dan tandatangan Gabenor BNM (Bank Negara Malaysia) daripada dulu hingga sekarang.

1. Tan Sri William Howard Wilcock (1959-1962)


Mungkin ramai yang tidak tahu Gabenor pertama BNM adalah orang Australia, Tan Sri William Howard Wilcock (WH Wilcock). Pada tahun 1958, WH Wilcock datang ke Malaya sebagai penasihat perbankan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Beliau pada ketika itu adalah Penolong Gabenor Bank Komanwel Australia (Bank Pusat Australia).

Pada 26 Januari 1959, Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Rahman telah melantik beliau sebagai Gabenor pertama dan Pengerusi Lembaga Bank Pusat Malaya atau lebih dikenali sebagai “Bank Negara Tanah Melayu” untuk tempoh 2 tahun.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya menyambung kontrak beliau selama 6 bulan sebelum beliau bersara pada 25 Julai 1962.

2. Tun Ismail Mohamed Ali (1962-1980)


 

Orang Malaysia pertama yang menjadi gabenor BNM adalah Tun Ismail Mohamed Ali. Tun Ismail dilahirkan pada 16 September 1918 di Pelabuhan Klang.

Beliau adalah abang kepada isteri Mantan Perdana menteri Malaysia, Toh Puan Siti Hasmah Mohamed Ali. Tun Ismail berkahwin dengan Toh Puan Maimunah Abdul Latiff dan telah meninggal dunia pada 19 Julai 1998 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1960 beliau dilantik sebagai Penolong Gabenor Bank Negara Tanah Melayu. Beliau mula menjawat jawatan Gabenor Bank Negara pada 26 Julai 1962 sehingga 26 Julai 1980.

Semasa hayatnya beliau telah menetapkan tanda aras kepada nilai-nilai teras Bank Negara dengan menerapkan budaya akauntabiliti, profesionalisme, integriti dan perkhidmatan.

3. Tan Sri Abdul Aziz Taha (1980-1985)



Tan Sri Aziz Taha mula menyertai Bank Negara pada tahun 1969 sebagai Penolong Pengurus di Jabatan Pelaburan & Perakaunan. Beliau yang diketahui umum sebagai anak murid kepada Tun Ismail dilantik mengantikan mentornya pada 26 Julai 1980 dan meletakkan jawatan sebagai Gabenor BNM pada 4 Mac 1985, tempoh perjawatan beliau sepatutnya tamat pada Jun 1985.

Beliau dikatakan meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan polisi kewangan & perbankan Menteri Kewangan pada ketika itu, Tun Daim Zainuddin. Bagi beliau, Objektif utama setiap bank pusat adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi, sistem kewangan dan membantu dan menasihati kerajaan mengenai dasar kewangan dan fiskal yang kukuh.

4. Tan Sri Jaffar Hussein (1985-1994)



Sebaik Tan Sri Aziz melepaskan jawatan, kerajaan telah melantik Tan Sri Jaffar Hussien pada 7 Mac 1985. Beliau dilahirkan pada 11 Jun 1931 di Muar, Johor.

Sebelum beliau dilantik sebagai Gabenor BNM, beliau adalah CEO Maybank.

Ketika beliau mentadbir Bank Negara Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 telah digubal dan penyeliaan industri insurans telah dipindahkan daripada Kementerian Kewangan kepada Bank Negara pada Mei 1988.

Beliau juga adalah salah seorang yang menubuhkan Suruhanjaya Sekuriti, National Mortgage Corporation Cagamas Bhd dan Rating Agency Malaysia Bhd.

Pada pendapat saya, beliau lebih terkenal sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian berbillion Ringgit Bank Negara didalam Pelaburan Forex.

Pada tahun 1992, BNM telah rugi hampir RM10billion didalam perdagangan matawang Forex dan pada 31 Mac 1994, sekali lagi BNM mengumumkan kerugian sebanyak RM5.7 bilion didalam pelaburan forex pada tahun sebelumnya.

Menteri kewangan pada ketika itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tan Sri Jaffar bertanggungjawab sepenuhnya dengan kerugian besar yang dialami oleh Bank Negara dan meletakkan jawatan pada 1 April 1994.

5. Tan Sri Ahmad Mohd Don (1994-1998)



Tan Sri Ahmad Mohd Don menjadi gabenor kelima Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Mei 1994.
Pada bulan Mei 1994, beliau telah dilantik sebagai Gabenor BNM untuk tempoh tiga tahun dan pada Mei 1997, beliau telah dilantik semula untuk tempoh tiga tahun.

Ketika beliau mentadbir BNM, Asia dilanda serangan spekulasi mata wang.
Tan Sri Ahmad Mohd Don kerapkali diserang oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir kerana dasar kewangannya yang ketat.

Tun Mahathir kemudiannya mengenakan kawalan modal, menambat Ringgit kepada Dollar US dan juga mengurangkan kadar faedah pinjaman.

Ahmad Mohd Don dan timbalannya, Fong Weng Phak, telah meletakkan jawatan pada 1 September 1998 kerana dikatakan tidak bersetuju dengan dasar kerajaan tersebut.
 
6. Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman (1998-2000)



Pada 7 September 1998, Tan Sri Ali Abul Hassan telah dilantik sebagai Gabenor keenam Bank Negara Malaysia (BNM). Dilahirkan di Pulau Pinang, Ali Abul Hassan berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri selama tujuh tahun sehingga 5 September 1998.

Apabila beliau mengambil alih sebagai Gabenor BNM, Asia sedang mengalami krisis kewangan. Ringgit telah ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap USD$1 pada September 1998. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, beliau mengamalkan dasar proaktif dan mesra perniagaan untuk memulihkan ekonomi.

Fokus utama beliau adalah untuk meningkatkan ekonomi Malaysia dengan inisiatif khusus bagi merangsang pelaburan domestik dan asing. Pada 29 Julai 1999, BNM mengumumkan program penggabungan bagi sektor perbankan domestik. Pelan asal pada ketika itu adalah untuk 55 institusi perbankan Malaysia bergabung ke dalam 6 bank utama.

Keperluan untuk Bank tempatan bergabung menjadi penting apabila organisasi perdagangan dunia memberi tekanan kepada negara untuk membuka pasaran kewangan mereka kepada bank asing.

Pada bulan Ogos 1999, penggabungan 6 bank utama di Malaysia bermula. Bank utama ialah Malayan Banking Bhd, Bank of Commerce (M) Bhd/Bank Bumiputra Malaysia Berhad, Public Bank Bhd, Southern Bank Bhd, Perwira Affin Bank Bhd dan Multi-Purpose Bank Berhad.

Pada bulan Oktober 1999 Semua 58 institusi perbankan domestik, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan telah menandatangani satu memorandum persefahaman berkenaan dengan program penggabungan. Beberapa bulan kemudian, BNM memansuhkan pelan tindakan tersebut dan membenarkan bank untuk memilih rakan-rakan mereka sendiri dalam penggabungan dijangka selesai pada Disember 2000.

Tan Sri Ali Abul bersara sebagai Gabenor BNM pada 1 Mei 2000 dan digantikan dengan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. Beliau telah meninggal dunia pada 25 Mac 2013 pukul 4.45 petang disebabkan oleh masalah jantung dan paru-paru di rumahnya di Kemansah Height, Taman Melawati dan dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam Kemensah Height.

7. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (2000-2016)
Tan Sri Zeti Aziz adalah wanita yang pertama dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia. Beliau juga dilihat sebagai salah seorang wanita yang begitu berkuasa di Malaysia.

Pada 13 September 2010, Tan Sri Zeti Zeti terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh majalah Global Finance. Beliau dilahirkan di Johor Bahru, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya pada 1958.


 Pada tahun 1970, beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Ekonomi Analitikal dan kemudiannya melanjutkan pengajian beliau ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa pada 1978.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Penyelidik ekonomi di Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Bank Pusat Asia Tenggara (South-East Asia Central Bank Training & Research Centre) pada tahun 1979 hingga 1984. Kemudian beliau dilantik sebagai Penolong Pengurus Jabatan Ekonomi di Bank Negara Malaysia.

Pada tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia. Pada 1 September 1998, beliau dilantik sebagai Pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia selepas Datuk Ahmad Mohd Don mengundurkan diri.

Kemudian pada 1 Mei 2000, beliau dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh dan wanita pertama dilantik dalam jawatan tersebut. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Bhd dari tahun 1998-2000. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd sejak tahun 2004.

Pada 20 April 2011, beliau telah dilantik semula sebagai Gebenor Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Mei 2011 sebelum bersara pada tahun 2016.

8. Datuk Muhammad Ibrahim (2016-2018)

Datuk Muhammad Ibrahim, telah dipilih sebagai Gabenor baharu bagi menggantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang bersara pada akhir April 2016. Muhammad yang menyertai bank pusat itu pada 1984 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada Jun 2010, akan memegang jawatan tersebut bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 1 Mei, 2016.

 


Beliau memiliki Ijazah Sarjana daripada Harvard University, Ijazah Perakaunan daripada Universiti Malaya dan diploma lepasan ijazah dalam Perbankan dan Kewangan Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selama 32 tahun bersama dengan bank pusat, beliau berkhidmat dalam banyak bahagian termasuk peraturan dan pengawalseliaan bank, perancangan strategik, sistem pembayaran, insurans, perbankan luar pesisir, perbendaharaan dan pasaran kewangan.
 
Sebelum itu Muhammad juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Sekuriti.

9. Datuk Nor Shamsiah Binti Mohd. Yunus (2018-2023)
Berkuatkuasa pada 01 hb Julai 2018 Datuk Nor Shamsiah Binti Mohd. Yunus menjadi Gabenur Bank Negara mengantikan Tan Sri Muhammad Bin Ibrahim yang telah meletak jawatan pada 06 hb June 2018. Beliau merupakan Gabenor wanita kedua negara selepas Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.  



10. Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (2023-Kini)
Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai gabenor untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

BNM berkata Abdul Rasheed akan mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun 2023.


Semestinya setiap tandatangan ini memberi kenangan bagi rakyat malaysia.

Sekian, Semoga bermanfaat

2 Comments

Apa Kata Anda?

  1. Nice info..

    ReplyDelete
  2. Hello', I' is Gabenor Rosmayni, I' want to send my email & email address. Is a 123ros@gmail.com, jmohdrosmaynibinjantan@gmail.com. Thank you.

    ReplyDelete
Previous Post Next Post