5 Soalan Bersama Bintang Youtube, Najwa Latif..!!!

Dengan adanya minat dalam diri seseorang individu, ia akan membawa kia ke arah yang lebih cemerlang di masa akan datang. Apabila timbul minat pada sesuatu perkara, maka akan timbulah cita-cita untuk menjadi yang terbaik. Minat yang mendalam terhadap sesuatu bidang boleh mengubah hidup kita pada masa akan datang.

Nama penuh: Imratul Najwa Binti Abdul Latif
Nama Komersial: Najwa Latif
Umur: 16 tahun
Tarikh Lahir: 23 Mei 1995
Asal: Batu Pahat, Johor
Bilangan Adik Beradik: Anak ketiga daripada empat orang

Berasal dari Johor, tiada siapa yang menyangka minat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggung Ibrahim di Batu Pahat ini berjaya membawanya untuk berada di tempatnya sekarang. Dikenali melalui laman sesawang YouTube, Najwa Latif berjaya membuktikan umur bukanlah penghalang baginya untuk menggenggam sesebuah kejayaan. Seawal umur 14 tahun, dia sudah mula mempelajari gitar. Biarpun minatnya untuk bermain gitar timbul sewaktu melihat kumpulan antarabangsa M2M membuat persembahan yang pada ketika itu dia masih lagi kecil, cita-citanya dihalang oleh bapanya dengan alasan risau pelajaran Najwa akan berhenti separuh jalan. Akur dengan arahan bapanya, Najwa menunggu beberapa tahun untuk meyakinkan bapanya sebelum diberi keizinan meneruskan impiannya itu. 

YouTube Sebagai Penghubung
Najwa merupakan anak ketiga daripada empat orang beradik yang kesemuanya terdiri daripada perempuan. Setiap ahli dalam keluarganya pandai bermain alat muzik. Najwa memilih untuk belajar bermain gitar berbanding adik dan kakaknya yang lain. Atas minatnya itu, dia sering memuat turun video nyanyiannya ke laman sesawang YouTube. Menurut gadis ini, aktivitinya itu akan membolehkan bapanya yang berada di Kota Tinggi dan kakaknya yang berada di Shah Alam melihatnya bermain gitar. Malah secara tidak langsung ia telah menjadi penghubung di antara Najwa, bapanya dan kakaknya sendiri. Namun takdir menyebelahinya apabila perbuatannya itu telah menjadikannya terkenal dan popular kini.

“Saya tidak menyangka ada juga orang lain yang melihat video tersebut. Saya bersyukur kerana dengan video-video tersebut, saya berjaya mencapai impian saya untuk menjadi penyanyi,” cerita Najwa.

Single Kedua
Setelah kejayaannya dengan lagu “Cinta Muka Buku”, Najwa Latif kini tampil dengan single keduanya ertajuk “Carta Hati”. Dia turut ditanya tentang single terbaharunya ini. “Sebenarnya “Carta Hati” adalah lagu pertama nukilan saya. Lagu ini telah lama saya cipta, namun di awal kemunculan saya, pihak label mahukan lagu “Cinta Muka Buku” menjadi single pertama saya. Saya tak kisah, malah saya memang suka lagu itu. “Klip video “Cinta Muka Buku” boleh dikatakan sebagai kejayaan dalam kerjaya saya kerana klip video itu berjaya mencapai hit sebanyak empat juta tontonan hanya selama empat bulan ia dilancarkan. Saya harap klip video Carta Hati” akan diterima peminat sepertimana klip video “Cinta Muka Buku,” kata Najwa tentang single keduanya itu.


Persembahan Bersama Greyson Chance
Baru-baru ini, Najwa telah berpeluang melakukan persembahan bersama Greyson Chance di Anugerah IndustriMuzik ke-18. Ironinya, mereka berdua merupakan penyanyi daripada sumber yang sama iaitu YouTube. Kata Najwa, pengalamannya berduet dengan artis antarabangsa yang sangat peramah itu akan kukuh terpahat di memorinya. “Sudah tentu saya berasa sangat bertuah dan gembira. Pada mulanya, saya idak tahu tentang perkhabaran ini, namun apabila rakan mula bertanya, saya terus bertanya kepada pengurus saya. Pada ketika dia (pengurus)mengatakan perkara itu benar, saya berasa sangat terharu. Sebenarnya itulah kejutan buat saya yang pada ketika itu sedang sibuk menjalani peperiksaan akhir tahun. Rakan saya mendapat tahu tentang berita tersebut melalui media cetak,” luah Najwa.


Meminati Justin Bieber
Tidak lari daripada sifat remaja seusia dengannya, Najwa mengakui dia sangat meminati Justin Bieber. Menurut Najwa, selain memiliki wajah yang comel, Justin Bieber juga mempunyai suara yang amat unik dengan alunan suara yang tidak dimiliki oleh semua orang. Cara Justin Bieber membawakan lagunya sendiri dengan lenggok suaranya yang tersendiri membuatkan Justin Bieber lain dari yang lain. Itu yang membuatkan Najwa menjadikan Justin Bieber sebagai idolanya. “Secara jujurnya, saya ada perancangan untuk membuat lagu duet. Namun semuanya masih dalam proses dan saya tidak boleh berkata apa-apa sekarang kerana belum ada hitam putih. Saya juga bakal mempunyai dua lagu duet di mana satu lagu itu merupakan lagu duet bersama artis Malaysia dan satu lagi bersama artis bukan dari Malaysia,” ujar gadis manis ini.

Ingin Menyambung Pelajaran
“Saya target 6A untuk SPM. Saya tidak mahu target 10A kerana saya tidak mahu kecewa di hari yang akan datang. Jika saya  berjaya, saya ingin menyambung pelajaran saya sama ada dalam bidang muzik ataupun bidang TESL,” ujar Najwa ketika ditanya tentang rancangan masa hadapannya untuk SPM tahun 2012. Murid tingkatan empat ini sebenarnya sangat aktif dengan sukan boling. Dia turut terpilih untuk menjadi wakil daerah bagi permainan tersebut. Mengakui pernah menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah, Najwa berharap agar dia masih lagi mempunyai harapan untuk menunaikan hasratnya itu. Namun begitu, dia tidak akan sama sekali menyesal menjadi penyanyi. Baginya, semua yang berlaku pasti ada hikmahnya tersendiri.

Kredit : Remaja

Post a Comment

Apa Kata Anda?

Previous Post Next Post