6 Wang Kertas Malaysia Siri Baharu & Ciri-Ciri Istimewanya

Seperti yang sedia maklum, Bank Negara Malaysia baru sahaja melancarkan duit syiling dan duit kertas baru Malaysia pada hari ini. Duit syiling akan mula digunakan pada awal tahun hadapan manakala duit kertas akan mula digunakan dalam bulan Julai 2012. 



Wang kertas terbaru ini bertemakan “Keunikan Malaysia” yang memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi. Ia terdiri daripada wang kertas RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100. Berikut adalah beberapa gambar dan fakta menarik tentang duit kertas baru Malaysia yang itu.

Spesifikasi Teknikal Duit Kertas Baru Malaysia
Denominasi Substrat Dimensi Warna
RM100 Kertas 150mm X 69mm Unggu
RM50 Kertas 145mm X 69mm Hijau – biru
RM20 Kertas 145mm X 65mm Jingga
RM10 Kertas 140mm X 65mm Merah
RM5 Polimer 135mm X 65mm Hijau
RM1 Polimer 120mm X 65mm Biru

Ciri-ciri Am Duit Kertas Baru Malaysia
Pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas, telah dikekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga raya Rosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan) dan corak songket kain tenunan tradisional.

Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi yang khusus bagi Malaysia.

Untuk duit kertas baru Malaysia kali ini, denominasi RM20 mula digunakan semula setelah diberhentikan beberapa tahun dahulu. Mungkin berita gembira buatr kanak-kanak kerana mereka mungkin akan dapat duit raya RM20 pada tahun hadapan. Berikut adalah sedikit penerangan tentang duit kertas yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri sebentar tadi.



Wang kertas RM100
Keajaiban Alam Semula Jadi

Dua keajaiban alam semula jadi terkemuka negara yang diisytiharkan sebagai 'Tapak Warisan Dunia' oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipaparkan pada wang kertas RM100.
Keajaiban alam semula jadi yang mengagumkan ini ialah Taman Kinabalu di Sabah, dengan Gunung Kinabalu yang hebat dan agung (iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara) dan pembentukan batu mercu batu kapur yang menakjubkan di lembah Gunung Api, yang ditemui di Taman Negara Mulu di Sarawak.

Kedua-duanya adalah antara keajaiban alam semula jadi di Malaysia yang memberi pengunjungnya satu pengalaman yang unik.


Wang kertas RM50
Pertanian dan Teknologi

Kelapa sawit dan bioteknologi dipaparkan pada wang kertas RM50 sebagai ikon ekonomi Malaysia yang berkembang maju. Kelapa sawit telah menjadi tanaman pertanian negara yang paling utama dari segi ekonomi kerana Malaysia merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia.

Bioteknologi terus meningkatkan kedudukan komoditi ini dalam rantaian nilai, menyokong transformasi ekonomi negara ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan.Minyak sawit mentah juga digunakan sebagai komoditi dasar bagi memudahkan pembiayaan secara Islam.

Wang kertas RM20
Hidupan Laut

Dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea), yang juga merupakan lambang hidupan laut yang pelbagai dan berwarna-warni di perairan tropika kita, dipaparkan pada wang kertas RM20 baharu.

Penyu Karah mudah dikenali melalui muncungnya yang melengkung dan kulitnya yang bersisik manakala Penyu Belimbing pula mempunyai kulit yang keras dan tujuh jaluran pada cangkerangnya.

Kewujudan penyu-penyu ini memberi peringatan bahawa kehidupan mereka bergantung pada imbangan aktiviti manusia dan pemuliharaan hidupan laut yang perlu dikendalikan dengan bijaksana.

Wang kertas RM10
Flora

Hutan tropika Malaysia yang tumbuh subur, iaitu salah satu hutan hujan tertua di dunia, mempunyai berjenis-jenis pokok berbunga dan antara yang paling ikonik ialah bunga yang terbesar di dunia iaitu Rafflesia.

Spesies Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 baharu ini merupakan spesies asli Semenanjung Malaysia dan mula-mula sekali ditemui di Hutan Simpan Royal Belum di negeri Perak pada tahun 2003.

Bagi memperingati penemuan ini, bunga yang mengagumkan ini dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.


Wang polimer RM5
Hidupan Liar

Burung Enggang Badak (Buceros rhinoceros), iaitu salah satu spesies burung enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia, dipaparkan pada wang kertas polimer RM5 baharu.

Burung hutan yang menarik, bersayap lebar dan berekor panjang yang boleh ditemui dalam kelompok kecil di hutan hujan di seluruh negara ini memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak yang turut dikenali sebagai 'Bumi Kenyalang'.

Burung enggang juga melambangkan simbol kekuatan dan keberanian bagi masyarakat asli Sarawak.

Wang polimer RM1
Sukan Tradisional

Permainan wau merupakan sukan tradisional yang popular di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Permainan wau juga secara tradisinya merupakan suatu acara untuk meraikan hasil tuaian yang baik yang merapatkan masyarakat tempatan negeri-negeri tersebut.

Wau Bulan adalah antara wau Malaysia yang terkenal dan paling ikonik, dan dipaparkan pada wang polimer RM1 baharu.

Wau Bulan buatan tangan, yang diperbuat daripada buluh dan kertas, juga menjadi barang hiasan popular yang menghiasi rumah-rumah di Malaysia.



Kredit : BNM

Post a Comment

Apa Kata Anda?

Previous Post Next Post