1. Setiap apa yang anda tulis akan mengajar anda perkara baru. Mulakan dengan menceritakan diri anda, tentang topik-topik kegemaran seperti resipi, fesyen atau maklumat semasa seperti tip mengisi borang kemasukan IPTA dan sebagainya.
2. Jujurlah dalam setiap penulisan. Tulislah mengikut cara anda tersendiri. Bagaimana jika orang yang mengenali anda sedang membaca blog anda? Oleh itu, penting untuk jujur menulis supaya anda tidak dikatakan sedang menulis perkara yang tidak betul.

3. Jangan berhenti menulis. Tulis apa saja yang sedang berlaku di sekeliling anda. Banyakkan membaca dan jika anda rasa mahu menyelesaikan masalah persekitaran yang sedang berlaku, tulislah idea anda dan kongsi cara penyelesaian.

4. Beri kejutan kepada pengikut atau pembaca supaya blog anda menjadi lebih menarik. Bagaimana mahu memberi kejutan kepada diri sendiri dan pembaca? Ceritakan tentang perkara unik yang boleh membuatkan pembaca merasa terpegun, ketawa mahupun sedih.

5. Jadilah diri sendiri. Biarpun topik yang anda ketengahkan tidak begitu unik dan mempunyai persamaan dengan blogger lain, sekurang-kurangnya anda perlu sampaikan dengan cara yang lebih unik. Fikirkan di luar kotak dan ambil gambar dari sudut yang lain.

6. Beri hujah dan bukti setiap kali anda mula menulis topik. Adanya bukti pada setiap kandungan yang anda tulis akan membuatkan pembaca lebih menghargai anda. Elak menjadikan topik anda sekadar 'copy and paste' dari orang lain. Jika anda berjaya meletakkan bukti, bahan pada blog anda pula akan dijadikan rujukan untuk orang lain.

7. Ikut perkembangan semasa dan pilih topik-topik panas. Menerusi cara ini, anda tidak akan dilabel sebagai blogger yang ketinggalan zaman sebaliknya sentiasa mengemas kini blog. Ini membantu mengekalkan jumlah pengikut blog.

8. Tulis secara konsisten. Anda tidak perlulah menulis entri setiap hari tetapi anda perlu konsisten untuk memastikan pengikut anda setia bersama blog anda. Kemas kini blog dua hingga tiga kali seminggu sudah memadai.

9. Cipta tajuk utama yang lebih 'catchy'. Anda mahu masyarakat membaca blog anda maka anda perlu menarik perhatian mereka. Tajuk yang menarik membantu menarik perhatian mereka untuk terus klik tajuk yang anda tulis.

10. Jadikan kandungan anda sebagai bahan yang mudah dicari di Internet. Jangan lupa masukkan 'link' menarik seperti video dan jangan lupa nyatakan sumber supaya anda tidak digelar sebagai penciplak.

Untuk membuktikan anda menghargai pengikut di blog anda, jangan lupa balas setiap komen yang diberikan. Tip di atas hanya sekadar  tip asas sebelum menjadi seorang blogger yang terkenal!