7 Ciri-Ciri Pekerja Terbaik Yang Diimpikan Majikan

Tiap-tiap majikan mempunyai pengalaman tersendiri dengan pekerja mereka, sama ada yang baik atau buruk . Berdasarkan pengalaman lalu, majikan yang mengambil pekerja sentiasa mempunyai idea segar dalam menetapkan ciri-ciri pekerja yang layak di ambil bekerja di organisasinya.

Walau bagaimanapun, setiap majikan berbeza cita rasa dan pandangan dalam menilai pekerja. Majoriti majikan melihat latar belakang pendidikan, pengalaman serta kemahiran yang ada pada pekerja tersebut.


Namun, dunia semakin berubah. Zaman teknologi memungkinkan sebahagian pemegang ijazah memiliki sifat dinamik serta berkebolehan secara holistik. Boleh jadi juga ada pemegang ijazah yang hanya boleh berkata-kata apabila ada buku atau manual pekerja (SoP) di tangan mereka.
Berdasarkan kajian The National Association of Colleges and Employers (NACE), di sebalik kepesatan pembangunan dan kemahiran penggunaan teknologi dan perisian, majikan lebih mementingkan karakter pekerja itu sendiri seperti kebolehan membuat keputusan, bekerja dalam kumpulan, kemahiran komunikasi dan membuat perancangan.

Jadi, kriteria yang bagaimanakah yang menjadi idaman para majikan dalam mengambil seseorang bekerja? Berikut merupakan tujuh kriteria yang dicari majikan dalam diri para pencari kerja.

1. Kualiti Pertama Yang Majikan Cari Ialah Kecerdasan

Dalam setiap kajian, didapati bahawa 76 peratus daripada produktiviti dan sumbangan pekerja akan ditentukan oleh tahap kecerdasannya. Kecerdasan dalam konteks ini bermaksud keupayaan untuk merancang, menganjur, menetapkan keutamaan, menyelesaikan masalah dan untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.

Kecerdasan merujuk kepada tahap akal dan keupayaan praktikal pekerja dalam menangani cabaran dunia pekerjaan. Cara asas seorang majikan menilai tahap kecerdasan anda ialah melalui cara anda bertanya soalan—sama ada ia soalan yang bijak atau sebalikya.

Sifat ingin tahu dan banyak bertanya juga menonjolkan ciri kecerdasan dan bersifat aktif. Lebih banyak anda bertanya soalan yang baik dan mendengar jawapan, anda akan lebih banyak dan cepat belajar mengenai skop kerja/tugasan anda.

2. Kualiti Kedua Dicari Majikan Ialah Keupayaan Kepimpinan  
Kepimpinan adalah kesanggupan dan keinginan untuk menerima tanggungjawab untuk membuat keputusan. Ia adalah keupayaan untuk menjaga, menjadi sukarelawan untuk satu-satu tugasan dan menerima akauntabiliti dalam mencapai keputusan yang dikehendaki daripada staf yang terlibat dengan tugasan yang berkaitan.

Ciri seorang yang berkepimpinan ialah tidak gemar beralasan. Anda menunjukkan kesediaan anda untuk menjadi pemimpin dalam organisasi dengan menawarkan untuk berusaha mencapai matlamat syarikat dan mencari strategi untuk mencapai matlamat tersebut.


3. Integriti Adalah Kualiti Yang Ketiga Dicari Oleh Majikan

Ia merupakan kualiti yang paling penting untuk kejayaan jangka panjang dalam kehidupan, lebih-lebih lagi di tempat kerja. Tahap integriti diri boleh dinilai melalui sejauh mana anda jujur pada diri sendiri. Jika anda mampu bersikap jujur ​​dengan diri sendiri, anda juga akan bersikap jujur dengan semua orang termasuk majikan dan rakan-rakan pejabat.

Anda bersedia untuk mengakui kekuatan dan kelemahan anda. Anda bersedia untuk mengakui kesalahan yang dilakukan ketika melaksanakan sesuatu tugasan. Jujur, amanah dan positif saling beriringan. Ia membezakan kualiti diri anda dengan pekerja-pekerja lain.




4. Kualiti Keempat Ialah Sikap Mudah Mesra

Majikan mencari pekerja yang ramah, mudah mesra serta senang untuk bekerjasama dengan orang lain. Majikan mencari orang yang boleh menyertai organisasi itu dan menjadi sebahagian daripada pasukan seperti sebuah keluarga.

Pekerja lelaki atau wanita yang mempunyai personaliti yang baik sentiasa lebih popular dan lebih berkesan dalam apa saja yang mereka lakukan. Kerjasama merupakan kunci kepada kejayaan perniagaan.

Pengalaman anda bekerja sebagai satu pasukan pada masa lalu serta kesanggupan anda untuk bekerja berpasukan pada masa akan datang boleh menjadi antara perkara yang paling menarik tentang anda ketika anda memohon pekerjaan.

5. Kecekapan Merupakan Kualiti Yang Kelima Dicari Oleh Majikan

Kecekapan merupakan aspek terpenting dalam meraih kejayaan. Ia merupakan asas dalam setiap bidang kerjaya yang diceburi. Kecekapan dalam melaksana dan menyelesaikan tugasan, mencari maklumat atau dalam mengendalikan masalah.

Ia juga merupakan keupayaan pekerja dalam menetapkan keutamaan, membezakan tugas-tugas yang relevan dan kurang relevan dan bijak mengurus masa.

6. Keberanian Kualiti Keenam Yang Majikan Mahukan

Ia bermaksud kesediaan untuk mengambil risiko. Keberanian juga bermaksud kesediaan untuk menerima cabaran, kesanggupan untuk menerima tugasan besar atau bahkan pekerjaan baru di mana terdapat tahap ketidakpastian yang tinggi dan kemungkinan untuk gagal.

Keberanian ialah kesanggupan untuk bersuara dan mengatakan dengan tepat dan jelas apa yang anda fikirkan tentang sesuatu situasi yang di hadapai di tempat kerja. Majikan mengagumi lelaki dan wanita yang tidak takut untuk meluahkan perasaan dan mengutarakan pendapat mereka.

Para pencari kerja atau pekerja mampu menonjolkan sifat ini dengan bertanya soalan terus terang dan secara langsung mengenai syarikat, kedudukan semasa syarikat dan masa depan atau peluang anda di masa hadapan dengan organisasi tersebut.

7. Kualiti Terakhir Dicari Majikan Ialah Kekuatan Dalaman (Motivasi Diri)

Kekuatan dalaman bermaksud memiliki keazaman dan keupayaan untuk bersabar dan bersemangat kental ketika berdepan saat sukar di tempat kerja. Kekuatan dalaman akan terpamer jelas apabila anda kekal tenang dan santai semasa sesi temu duga kerja.

Jika anda tenang dan bersahaja ketika sesi temu duga, ia merupakan satu petunjuk bahawa anda akan tetap tenang dan mampu bersabar ketika organisasi berdepan krisis yang tidak dapat dielakkan.
Jadi Diri Sendiri, Tonjol Kelebihan Yang Dimiliki

Dalam mencari kerja atau menjalankan tugas sebagai pekerja, yang paling utama ialah siapa diri anda sebenarnya. Tonjolkan kelebihan yang anda miliki. Tidak kira sama ada kemahiran fizikal (menulis dengan pantas/shorthand, cekap melakukan kerja-kerja fotokopi, melukis atau lain-lain) atau kemahiran mental (bijak, kreatif, kemahiran berfikir kritis dan kreatif dan lain-lain).

Elakkan daripada berpura-pura atau berlakon dan lebih buruk lagi berbohong tentang kemahiran yang anda miliki. Anda mungkin boleh berbohong tentang latar belakang pendidikan serta sijil-sijil pengiktirafan yang anda miliki.


Tetapi awas jika berbohong mengenai sifat diri sendiri. Lambat laun majikan mahupun pekerja lain akan dapat melihat sisi sebenar diri anda kerana anda selamanya tidak boleh berpura-pura menjadi diri ‘orang yang anda reka.’

Tugas para pencari kerja/pekerja ialah untuk terus membina watak yang positif dan kekalkannya dalam diri agar ia berubah menjadi karakter semula jadi anda. Kaji dan banyakkan bertanya apa yang dicari oleh majikan sebelum mula mencari pekerjaan.

Salam kejayaan dan selamat berhujung minggu kepada semua pembaca hebat!

Kredit : Majalah Niaga

Post a Comment

Apa Kata Anda?

Previous Post Next Post