10 Filem Aksi Terbaik Di Malaysia Sepanjang Zaman

Sejak berdekad lalu, industri filem tanah air sentiasa berubah dengan suntikan bermacam idea baru dalam pelbagai genre.

Satu daripada genre yang tak lapuk dek zaman tentunya filem aksi. Tidak hanya memaparkan babak serius ia juga terselit drama dan elemen lucu seperti filem Hollywood.



Terbaru, kehadiran filem J Revolusi di pawagam juga mendapat sambutan hebat sehingga menjadi fenomena baru.

Teruskan Selongkar..

Berikut adalah 10 filem aksi tempatan yang mendapat sambutan hangat dan dianggap terbaik.

J Revolusi (2017)



Filem arahan pengarah baru, Zulkarnain Azhar ini membariskan pelakon popular antaranya Zul Ariffin, Fazura, Izara Aishah, Farid Kamil dan Azad Jasmin.


Mengisahkan mengenai kehidupan dan kerjaya J Zulkarnain sebagai pegawai Unit Tindak Khas (UTK), filem J Revolusi digarap dengan baik menerusi babak pertarungan ‘tactical’ dan lakonan penuh dramatik dan lucu. Lebih menarik, J Revolusi turut mengetengahkan beberapa pelakon yang handal di gelanggang seni mempertahankan diri, antaranya Peter Davis dan Saiful Merican.


Polis Evo (2015)




Sejarah terukir apabila Polis Evo ditayangkan di pawagam pada 2015. Filem aksi kepolisan ini memaparkan kehidupan anggota polis dengan pelbagai aksi ‘stunts’ dan ‘drift’ yang menarik. Menggabungkan Shaheizy Sam dan Zizan Razak, Polis Evo adalah arahan Ghaz Abu Bakar yang membanggakan.


Selain Sam dan Zizan, Polis Evo turut membariskan Nora Danish, Mimie Ernida, Wan Hanafi Su dan Pablo Amirul.


KL Gangster (2011)




Ditulis dan diarahkan sendiri oleh Syamsul Yusof, KL Gangster meletakkan beberapa muka hebat dalam industri filem antaranya Aaron Aziz, Ady Putra, Soffi Jikan dan Zizan Razak. KL Gangster membawa penonton menyelami dunia kongsi gelap di Kuala Lumpur.


Hikayat Merong Mahawangsa (2011)
Walaupun ramai beranggapan Hikayat Merong Mahawangsa filem epik, ia turut menyelitkan aksi peperangan klasik bersama penggunaan kesan khas. Diarahkan Yusry Abdul Halim, Hikayat Merong Mahawangsa membariskan Stephen Rahman Hughes, Datuk Rahim Razali, Khir Rahman, Ummi Nazeera, Umie Aida, Jing Lusi dan Gavin Stenhouse. Ia mengisahkan mengenai pergelutan dalam sejarah awal kerajaan Kedah.


Evolusi KL Drift (2008, 2010)


Satu lagi filem hebat arahan Syamsul Yusof adalah Evolusi KL Drift. Tidak banyak pembikin filem tempatan berani mempertaruhkan filem aksi yang pada masa sama, memaparkan komuniti lumba kereta berkuasa tinggi. Secara tak langsung, ada juga yang melabelkan filem ini seumpama filem Fast & Furious versi Malaysia. Kerana sambutan hebat, Evolusi KL Drift diteruskan dengan kehadiran Evolusi KL Drift 2.


Cicak-Man (2006, 2008, 2015)



Filem adiwira, Cicak-Man mendapat sambutan baik mungkin kerana penonton Malaysia dahagakan kisah adiwira tempatan. Untuk filem pertama dan kedua, Cicak-Man menampilkan Saiful Apek sebagai bintang utama. Selepas itu, tanggungjawab itu diteruskan Zizan Razak dalam Cicak-Man 3.


Gerak Khas The Movie (2001, 2002, 2005)



Gerak Khas The Movie juga menjadi salah satu fenomena gah satu ketika dahulu. Dari siri TV, Gerak Khas, ia diangkat menjadi sebuah filem berteraskan dunia kepolisan. Dijayakan AC Mizal dan Abby Abadi, Gerak Khas The Movie pertama ditayangkan pada 2001 dan menampilkan beberapa pelakon lain antaranya Erra Fazira dan Datuk Rosyam Nor. Keterujaan penonton diteruskan lagi apabila pengarah dan produsernya, Datuk Yusof Haslam melahirkan Gerak Khas The Movie 2 pada 2002 sebelum hadir dengan sekuel ketiga pada 2005.


Lurah Dendam (1996)


Tentunya ramai sentiasa ingat kembali beberapa adegan yang dipaparkan dalam Lurah Dendam arahan Raja Ahmad Alauddin. Ia membariskan Ridzuan Hashim dan Raja Azura. Mencuri perhatian, tentunya watak Rizal yang dipegang Datuk Chef Wan. Lurah Dendam juga filem aksi yang diselitkan kisah pengembaraan di dalam hutan.


Bukit Kepong (1981)


Filem epik dan sejarah bergenre ini akan terus kekal di hati penonton kerana sungguh menyentuh perasaan. Diadaptasikan daripada kisah benar, Bukit Kepong arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin ini benar-benar memberi impak kepada penonton hingga sekarang. Ia mengisahkan sekumpulan anggota keselamatan dan isteri mereka bertarung dengan komunis di Bukit Kepong pada 1950. Filem ini memenangi lapan anugerah di Festival Filem Malaysia Ketiga (FFM3), termasuk Filem Terbaik.


KL Menjerit (2002)



Filem aksi arahan pengarah, Bade Haji Azmi ini menampilkan dunia permotoran dan sisi gelap komuniti Mat Motor di Kuala Lumpur. Pelbagai aksi menarik dipaparkan antaranya perlumbaan haram serta pertarungan bagi memenangi cinta.


Membariskan Datuk Rosyam Nor, Lisdawati, Faizal Hussein dan ramai lagi, KL Menjerit memenangi lapan anugerah pada Festival Filem Malaysia Ke-16.

1 Comments

Apa Kata Anda?

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    An Thái Sơn chia sẻ trẻ sơ sinh nằm nôi điện có tốt không hay võng điện có tốt không và giải đáp cục điện đưa võng giá bao nhiêu cũng như mua máy đưa võng ở tphcm địa chỉ ở đâu uy tín.

    ReplyDelete
Previous Post Next Post