30 Senarai Roti Canai Popular Di Kedai Mamak Malaysia Mesti Cuba

ROTI canai memang tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini, malah ia turut diminati pelancong asing. Jika dahulu roti canai menjadi menu sarapan, namun peredaran zaman dan masa menjadikan makanan ini dinikmati tanpa mengira waktu. Tidak sah kalau roti canai tidak disajikan dengan kuah dal kari atau sambal.

Hidangan roti canai begitu sinonim dengan kedai mamak selain menu lain.

“Anne, roti satu.”
Itu salah satu ungkapan yang acapkali diujarkan oleh pelanggan kedai mamak. Tahukah anda selain roti biasa yang anda pesan, terdapat pelbagai jenis roti lain yang boleh anda pesan dan cuba sendiri dan mana tahu jadi kegemaran suatu hari nanti?

Jadi jom kita selongkar 25 jenis roti canai yang terdapat di kedai mamak selain roti canai biasa yang seringkali di pesan oleh anda.

1. Roti Canai Kosong / Roti Canai Biasa
Roti pertama yang berada dalam senarai semua orang ialah roti kosong. Roti ini boleh diibaratkan sebagai roti “starter pack” kepada mereka yang baru sahaja mencuba roti di kedai mamak dan ketandusan idea roti yang mahu dimakan.  

2. Roti Canai Telur / Roti Telur bawang
Roti telur merupakan roti jika anda mahukan sarapan pagi yang kaya dengan protein. Telur yang dipecahkan dalam roti dan kuah kari yang sedap pasti akan mengenyangkan anda sehingga tengah hari.

3. Roti Prata

Roti prata sama seperti roti kosong namun yang membezakannya ialah bentuk roti tersebut dan juga tahap garingnya. Roti prata seharusnya lebih garing dan lauk kari yang dicicah harus pekat.  

4. Roti Bom
Jenis roti yang ke-4 dalam senarai kami, ialah roti bom. Roti bom merupakan salah satu roti yang bercita rasa manis. Roti bom sama seperti Roti prata dari segi bentuk iaitu berbentuk lingkaran. 

Selalunya di makan begitu sahaja pun dah cukup tanpa perlu cicah kerana susah mempunyai perasa marjerin. 

5. Roti Tsunami
Roti canai dengan telur separah matang di atasnya kemudian kuah banjir di atas roti. 


6. Roti Canai Kaya
Roti dicampur dengan kaya seperti roti disapu kaya tapi dicanai atas kuali 

7. Roti Canai Tampal
Peminat telur, roti seterusnya yang terdapat di kedai mamak ialah roti tampal. Roti tampal berbeza dengan roti telur kerana proses roti tampal ialah dengan memasak telur di atas loyang dan hanya di “tampal” pada roti. 

Roti ini sesuai kepada mereka yang suka akan telur yang masih cair dibahagian tengahnya. 


 
8.  Roti Sardin
Roti sardin merupakan salah satu roti yang popular di kedai mamak. Cara membuat roti sardin adalah sama seperti membuat roti telur tetapi gantikan telur tersebut dengan sardin yang dihancurkan.
Roti sardin yang dibuat dengan betul sangat sedap dan tidak hanyir. Di samping itu, roti ini lembab daripada sos yang dicampurkan sekali daripada tin sardin.  

9. Roti Tisu
Selain daripada roti-roti di atas, roti yang sering dipesan di kedai mamak ialah roti tisu. Roti tisu ini sangat garing dan selalunya sangat besar dan dilapik meninggi. Roti tisu yang sedap ialah apabila ianya garing dan manis.  


10. Roti Bawang
Roti bawang turut merupakan roti yang sering kali dipesan oleh kebanyakan pelanggan. Kemanisan asli daripada bawang menyebabkan roti bawang ini menjadi pilihan.
Roti ini sangat sedap dimakan dengan kuah kari yang pekat dan agak pedas kerana kesimbangan manis yang digandingkan dengan kuah kari pasti sesuatu yang anda harus cuba. 

11. Roti pisang
Roti lain yang pelik namun dijual oleh kedai mamak ialah roti pisang. Apabila kita bercakap mengenai roti pisang, kita tidak bermaksudkan roti kek pisang. Roti pisang di kedai mamak ialah apabila mereka meletekkan hirisan pisang dalam roti tersebut.

Pisang yang lembut daripada haba api akan serap ke dalam roti dan menghasilkan bukan sahaja roti yang garing tetapi enak.  


12. Roti Canai keju

Roti keju ialah roti yang sering dibuat di kebanyakan kedai mamak dan disukai ramai. Roti keju punyai rasa masin serta garing yang pasti membuat peminat keju gembira. 

13. Roti Canai Milo
Kami pasti anda pernah mendengar air Milo, ais krim Milo tetapi roti Milo? Roti Milo merupakan salah satu jenis roti yang digilai ramai. Serbuk milo yang ditaburkan dengan banyak membuatkan pengalaman makan roti Milo merupakan satu pengalaman yang indah.
Taburan Milo yang manis serta roti yang garing pasti akan mngujakan individu yang merasainya.  


14. Roti Canai Susu
Peminat benda-benda manis pasti akan suka roti susu. Roti susu ini bukanlah dimakan dengan susu cair tetapi dengan susu pekat yang penuh berkrim. Jenis roti yang sering kali digunakan bagi roti ini ialah roti prata bersama susu. 

15. Roti Planta
Roti planta ini tidak harusnya dikelirukan dengan roti prata kerana namanya yang agak sama. Roti planta ini menggunakan planta atau mentega dalam pembuatan roti ini.

Roti bom yang garing dibuat terlebih dahulu dan kemudian ia disapukan atau kadangkala dilumurkan dengan planta agar roti bom ini menjadi lebih garing dan mempunyai rasa yang manis. 

16. Roti Nan  
Roti lain yang ingin kami ketengahkan ialah roti nan. Roti nan ini dibuat dalam belanga yang disediakan khas bagi membuatnya. Roti nan sangat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana ia mengenyangkan dan tidak terlalu manis seperti roti canai yang lain.
Enak dimakan dengan ayam tandori atau dengan kuah pudinanya.  


17. Roti canai meriah
Roti canai meriah ini adalah salah satu inovatif dari pembuat roti. Seperti yang kita tahu warna memainkan peranan yang penting dalam menaikkan semangat kita terhadap makanan.
Roti canai meriah ialah roti canai biasa namun dengan sedikit perisa mengikut warna. Warna hijau ialah pandan. Roti canai ini pasti akan menarik perhatian ramai orang terhadap warnanya yang menarik dan rasanya yang unik. 

18. Roti canai telur goyang
Roti canai telur goyang ialah roti canai yang dicarik dengan campuran telur separuh masak. Roti ini kemudian dicampurkan dengan kuah kari atau dhal yang panas dan sedap dengan sambal tumis yang menyengat.
Mereka yang mahukan roti dan telur yang berempah, roti ini adalah untuk anda.  


19. Roti Jantan
Roti canai dengan telur dua biji.

20. Roti Banjir
Roti banjir adalah sama seperti roti canai telur goyang tetapi tanpa telur tersebut. Roti banjir melihatkan kuah kari yang “dibanjirkan” ke atas roti tersebut. Roti ini pasti menarik perhatian ramai kerana aroma kari yang semerbak. 

21. Roti Hawaii
Roti hawaii merupakan roti yang dibuat dengan mencampurkan roti, sosej, nenas dan telur. Apabila siap dibakar, roti ini kemudian di letakkan mayonis di atasnya.
Hidangan ini amat sesuai bagi mereka yang mahu sesuatu yang berat dan mengenyangkan. 

22. Roti Jepun

Roti jepun ini mengandungi telur, marjerin, keju dan susu. Campuran bahan-bahan ini pasti membangkitkan selera anda terhadap roti ini. 

23. Roti Maggi
Roti Maggi merupakan roti gabungan mi Maggi goreng dan roti canai.
Walaupun hidangan ini agak berat, kami pasti akan suka akan rasanya yang berempah serta teksturnya yang garing.  


24. Roti Fujima
Roti lain yang ingin kami ketengahkan ialah roti fujima. Nama yang pelik padan dengan rasa serta bahan yang digunakan untuk membuat roti fujima ini.
Roti fujima diperbuat daripada jagung dan kemudian ais krim vanila diletakkan di atasnya. Mereka yang gemari sesuatu yang panas dan sejuk, roti fujima ini untuk anda. 

25. Roti jagung
Roti jagung sama seperti roti telur dan roti sardin. Cara membuatnya ialah dengan menebar roti terlebih dahulu dan kemudian dengan meletekkan jagung dalam roti tersebut dan membakarnya.
Roti jagung ini adalah untuk mereka yang gemari manis serta kegaringan daripada kulit roti tersebut. 

26. Roti Ayam
Terdapat 2 cara membuat roti ayam. Pertama ialah dengan meletakkan ayam masak merah di atas roti prata dan kemudian dicampurkan dengan kuah dhal yang masih panas.
Cara yang kedua ialah dengan mencarik ayam serta mencampurkannya dengan telur lalu masaknya di atas loyang yang panas. Cara pembuatan roti ayam berbeza mengikut gerai mamak yang anda kunjungi. 

27. Roti Canai John

Roti berikutnya ialah roti john. Roti john mungkin pernah dilihat oleh anda di pasar malam pada hujung minggu. Berbeza dengan roti john, roti john canai tidak memakai roti panjang namun menggunakan roti prata sahaja. 

Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat roti john adalah sama dan ia ditambahkan dengan sos cili dan mayonis bagi membangkitkan selera anda. 

28. Roti Canai Nachos

Bagi mereka yang mahukan kerangupan nachos, kami minta maaf terlebih dahulu kerana kerangupan tersebut tidak akan didapati. 

Roti canai nachos menggunakan bahan-bahan bagi membuat nachos. Roti akan dihiasi dengan keju mozzarella dan sayur yang berbagai warna. Ini amat sesuai kepada peminat sayur. 

Namun ingat bahawa roti canai nachos ini mengandungi potongan ayam atau daging yang penuh berempah. Mereka yang ingin rasakan ala-ala nachos boleh mencuba roti canai nachos.  

29. Roti Tosai 
Tosai dibuat dengan menggunakan adunan yang ditapai beberapa lama. Tosai dihidangkan untuk sarapan bersama dengan aneka jenis kuah (sebagai perasa sampingan); sebagai contoh kuah dal, kari ayam atau kari ikan, serta cutni iaitu sejenis kuah pekat yang diperbuat daripada campuran kelapa yang dikisar serta perencah rempah dan cili.

30. Chapati
Perkataan 'Chapati' bermakna "leper bulat" dalam bahasa India.
Jadi dalam banyak-banyak pilihan roti, mana satu pilihan anda?

Maka itulah jenis-jenis roti yang terdapat di kedai Mamak. Bagaimanapun, bukan semua roti di atas boleh didapati di satu tempat. Kadang kali anda harus “mamak-hopping” bagi mendapatkan rasa roti di atas.

Kredit : freemalaysiatoday 

Post a Comment

Apa Kata Anda?

Previous Post Next Post