45 Idea Pantun Pembuka - Penutup Acara Buat Pengacara Majlis

Koleksi pantun penutup pantun akhir majlis, pantun pembuka dan penutup salam, pantun selamat datang tetamu, pantun ucapan aluan, dan lain-lain.



Jadi jom kita selongkar beberapa koleksi pantun yang anda boleh gunakan semasa menjadi pengacara majlis dalam apa jua majlis atau acara.


Pantun ni penting untuk buat majlis anda nampak lagi gah, lagi meriah dan supaya audience tidak bosan mendengar emcee bercakap di depan.


Pantun Pengacara Majlis

Berikut merupakan koleksi pantun pengacara majlis yang anda boleh gunakan.


1. Pembuka Acara


Melati kuntum tumbuh melata,

Sayang merbah di pohon cemara;

Assalamualaikum mulanya kata,

Saya sembah pembuka bicara.



Ke Pekan Kuala membeli bingka,

Sayang pesanan terlupa sudah;

Majlis bermula tirai dibuka,

Dengan alunan madah yang indah.


Mencari timba si anak dara,

Di bawah sarang burung tempua;

Salam sembah pembuka bicara,

Selamat datang untuk semua.


Sayang kumbang mencari makan,

Terbang seiring di tepi kali;

Selamat datang kami ucapkan,

Moga diiringi restu Ilahi.

 

Indah berbalam si awan petang,

Berarak di celah pepohon ara;

Pemanis kalam selamat datang,

Awal bismillah pembuka bicara.


Mega berarak indah berbalam,

Dipuput bayu ke pohon ara;

Pemanis kalam selamat malam,

Awal bismillah pembuka bicara.


Assalamualaikum salam sejahtera

Pembuka kata lidah bicara

Izinkan saya mulakan acara

Semoga majlis disambut ceria.


Kompang bergema pusaka bangsa

Dipalu oleh si anak muda

Hadir tuan meriah suasana

Kami menyambut penuh gembira



Ulik Mayang nyanyian asli

Dilagu si gadis merdu sekali

Terima Kasih sekalung budi

Sudi datang ke majlis merai.


Ingin rasa memakan kari,

Kari cendawan batang keladi;

Girang rasa tidak terperi,

Bertemu tuan yang baik budi.


Melayang serindit di atas permatang

Merbah berkicau di hujung muara

Pemanis kata selamat datang,

Awal Bismillah pembuka bicara.


2. Bacaan Doa


Kalau pergi Tanjung Keramat,

Anak manis jangan diangkat;

Bersama kita memohon rahmat,

Moga majlis mendapat berkat.



Tetak buluh kajang sepuluh,

Laksana dititing kias ibarat;

Angkat tangan jemari sepuluh,

Doa di pohon biar selamat.



Lebat kemiri pohonnya rendah,

Dahan terikat tali perkasa;

Sepuluh jari kami menadah,

Mohon berkat yang Maha Esa.


Tetak buluh kajang sepuluh,

Mari jolok sarang penyengat;

Angkat tangan jemari sepuluh,

Doa di pohon biar selamat.


Anugerah di kecap si anak watan

Mengangkat senjata bidalan suara

Menadah tangan memohon keberkatan

Mendapat restu hidup sejahtera


Bunga mawar cantik tersemat

Dipetik gadis di tepi titi

Doa dibaca memohon Rahmat

Moga Majlis sentiasa diberkati


Tangan ditadah penuh inayah,

Majlis dibuka penuh rahmatNya,

Mohon keberkatan serta hidayah,

Moga tercerna minda kelas pertama.



3. Ucapan Alu-Aluan


Sudilah tuan jalan berlapan

Jalan berlapan di malam kelam;

Sudilah tuan beri ucapan,

Kata aluan pemanis kalam.


Duduk sekawan gadis jelita,

Buat santapan untuk pahlawan;

Tampillah tuan kami meminta,

Madah ucapan kata aluan.


Pergi ke kota beli selasih,

Sayang si dara buat halwa;

Berilah kata simpulan kasih,

Sulamkan mesra satukan jiwa.


Emas tempawan buatmu puteri,

Busana indah buat rupawan;

Sudilah tuan tampilkan diri,

Bersama madah kata aluan.


Duduk sekawan si burung unta,

Tepi keramat di waktu malam;

Padamu tuan kami meminta,

Kata azimat penutup kalam.



4. Ucapan Perasmian


Bunga selasih di dalam taman

Harum melati penyeri intan

Terima kasih ucapan tuan

Kekal bersemi dalam ingatan


Daun semulur di pekan sari,

Batang jerami rebah ke bumi;

Madah dihulur sembah diberi,

Kata perasmi hajatnya kami.



Kalau tuan pikat kenari,

Jangan patahkan batang jerami;

Kepada tuan sembah diberi,

Mohon rasmikan majlis kami.


Tuah tersenyum pada Si Teja,

Duduk bersimpuh sambil bersila,

Kain ditenun bersama reja,

YDP PIBG hormat dipersila,



5. Persembahan


Sehabis merah daun yang sihat

Dahan melebar bercerita sakan

Majlis anugerah mohon berehat

Persembahan pelajar kita saksikan


Pakaian dipakai cantik berseri,

Majlis keraian kita semua,

Majlis kita takkan berseri,

Tanpa persembahan multimedia



Dari Kedah ke Kuala Perlis

Singgah bersantai di tepi jeti

Persembahan pembukaan memeriahkan majlis

Semoga hadirin terhibur di hati.



6. Menjemput Makan


Kalau tuan pikat cemara,

Buatlah bara bakar selasih;

Sudilah tuan jamu selera,

Hidangan mesra pengikat kasih.


Lebat rumbia di Sungai Kedah,

Sayang senduduk di tepi muara;

Penganan mulia terletak sudah,

Samalah duduk menjamu selera.


Terbang sekawan si burung merbuk,

Batang selasih di Tanjung Dara;

Padamu tuan kami persembah,

Santapan kasih juadah mesra.


Sungguh indah bunga kemboja,

Di bawah atap tepi halaman;

Juadah sudah letak di meja,

Sudilah santap tuan budiman.



7. Anugerah


Berkebaya batik berwarna merah

Diserikan dengan permata berlian

Tibalah masa penyampaian anugerah

Penerima teruja menunggu giliran



Terbang tinggi si burung helang

Berkicau kenari sambil berterbangan

Insan cemerlang negara terbilang

Anugerah diberi tanda kecemerlangan.



Warga cemerlang tersenyum manis

Hadir bersama ibu bapa wibawa

Sambutan anugerah penyeri majlis

Sematkan gagah di dalam jiwa


Ikan sembilang, sepat dan kelah

Guna bubu biasa di hujung

Pencapaian cemerlang dapat hadiah

Petanda ilmu sentiasa dijunjung



8. Penutup Majlis



Bunga dedap di atas para,

Anak dusun pasang pelita;

Kalau tersilap tutur bicara,

Jemari disusun maaf dipinta.



Pohon berangan tempat bertemu,

Girangnya rasa si anak dara;

Baliklah tuan membawa ilmu,

Binalah bangsa bangunkan negara.



Dari Kedah ke pekan sari,

Beli suasa di Kota Tinggi;

Selesai sudah tugas diberi,

Di lain masa bersua lagi.

 


Di atas dahan burung tempua,

Melihat rusa tepi perigi;

Salam perpisahan untuk semua,

Dilain masa bersua lagi.



Bunga seroja di atas para,

Jatuh ditimpa buah berangan;

Andai kata tersilap bicara,

Kemaafan jua kami pohonkan.



Bersyukur kini kami panjatkan,

Majlis anugerah telah disempurnakan,

Sekalung penghargaan kami hulurkan,

Segulung tahniah kami ucapkan....



Akar keladi melilit selasih

Selasih tumbuh di hujung taman

Kalungan budi junjungan kasih

Mesra kenangan sepanjang zaman


Tenang-tenang air di kali

Tempat mandian putra puteri

Sempurna sudah majlis dirai

Salah dan silap harap dimaafi



Merdu bertingkah alunan suara

Kadang tak sedar tersilap kata

Andai terlanjur patah bicara

Serendah hati kemaafan dipinta


Itulah koleksi pantun yang selalu digunakan oleh pengacara majlis.



Sekian, Semoga bermanfaat.





Post a Comment

Apa Kata Anda?

Previous Post Next Post