Hidup ini umpama roda,setinggi mana pun kamu berdiri jangan lupa untuk melihat rumput di bawah.Tidak selamanya kamu akan terus berada di atas dan bila-bila masa sahaja kamu akan berada di bawah bersama mereka yang lain.Ketika itu,barulah kamu tahu untuk menilai yang mana baik mahupun buruk.Sesekali lihatlah ke kiri,kanan,atas dan bawah agar kamu tahu untuk menghargai orang yang berada di sekeliliing kamu.
Hargailah Sesiapa yang berada di sekeliling kita
Menghargai orang bukan bermakna kamu perlu menghadiahkan mereka dengan pujian melangit tetapi cukuplah sekadar ucapan “terima kasih”. Dengan ucapan seperti ini ia sudah memadai dan membuatkan orang di sekeliling rasa dihargai. Sebelum ingin diri kamu dihargai, belajarlah untuk menghargai orang lain terlebih dahulu. Tip ini sebagai panduan buat kamu yang berhati kering.
1. Ucapan Terima Kasih
“Terima kasih sebab membantu saya.”Sedapnya bila mendengar ucapan tersebut kepada orang yang banyak membantu kamu selama ini. Ucapan seperti ini sebenarnya boleh membuatkan mereka rasa dihargai.Sudahlah si dia membantu kamu hingga penat lelah, namun ucapan terima kasih pun susah nak cakap. Aduh! hati kamu memang betul-betul kering. Apa salahnya kamu mengucapkan kata-kata itu, bukan berat sangat pun. Justeru itu kamu perlu belajar meringankan mulut untuk menyatakan sesuatu yang lebih mesra agar orang di sekeliling tidak berasa kecewa dengan sikap kamu.
2. Bantu Ahli Lain
Walaupun dilantik menjadi seorang ketua di dalam sebuah kumpulan, harus diketahui bahawa kamu juga perlu turun padang dan bersama-sama membantu ahli yang lain melaksanakan tugasan. Kamu jangan ingat dilantik sebagai ketua hanya untuk memantau ahli-ahli yang lain semata-mata, sebaliknya kamu juga harus bertindak untuk memastikan tugasan tersebut berjaya. Kebiasaannya bila kamu berada di atas, pasti kamu tidak akan membantu ahli yang lain bahkan kamu hanya lebih suka mengarahkan sahaja. Sebolehbolehnya elakkan!
3. Hargai Kerja Orang Lain
“Arghh! Lembaplah kau ni! Salah pulak tu! reti ke tak kau buat kerja?” Pedas sungguh ayat kamu ketika melontarkan kata-kata tersebut. Boleh dikatakan menusuk ke lubuk hati malah lebih daripada itu. Kamu perlu tahu untuk menjaga hati dan perasaan orang lain.Cuba kamu berada di tempatnya, apa yang kamu rasakan? Mesti sedih dan sakit hati bukan? Begitu juga dengan mereka. Jangan kamu fikir marah kamu sahaja, sekurang-kurangnya kamu juga perlu menghargai penat lelah mereka ketika menyiapkan tugasan tersebut. Walaupun hasilnya tidak begitu meletup, namun mereka berjaya juga menghasilkannya dengan baik.
4. Memahami Masalah Yang Dihadapi
Belajarlah untuk memahami orang lain sebelum kamu ingin orang lain memahami diri dan tugas kamu. Jangan bertindak meletakkan kesalahan di bahu rakan sepasukan berbanding diri kamu sendiri. Bahkan kamu merasakan bahawa kamulah yang betul dan mereka pula yang salah, sedangkan kamu tidak tahu apa masalah yang dihadapi. Walaupun kamu bertindak sebagai seorang ketua, namun kamu harus memahami mereka yang berada di bawah penyeliaan kamu. Cara ini sebenarnya mampu mengeratkan hubungan kamu dan rakanrakan yang lain. Sekurang-kurangnya mereka tahu yang kamu memahami masalah mereka.
5. Bekerjasama
Semangat setia kawan itu penting bagi membentuk sesebuah kumpulan.Sekiranya semangat ini tidak ada, maka hancur dan kacau bilaulah pasukan tersebut. Sebagai seorang ketua kamu perlu bijak menangani masalah yang ada dan tahu untuk menguruskan ahli-ahli di bawah kamu. Kamu perlu membahagikan tugas dengan adil, barulah pasukan kamu berjaya mencapai matlamat sebenar dan menuju ke arah yang sama. Bukan mudah sebenarnya untuk menyatukan kesemua ahli kumpulan agar mereka bersatu. Setiap orang mempunyai pelbagai kerenah dan pandangan masingmasing.Oleh itu peranan kamu memang amat penting!
6. Jangan Pentingkan Diri
“Kau kena ingat aku ni ketua dalam kumpulan kita, jadi apa-apa pun tanya aku terlebih dahulu!” Amboi,berlagaknya. Kadangkala kamu sendiri menyampah bila mana kamu berhadapan dengan orang seperti ini bukan?Lagaknya mengalahkan orang besarbesar pula. Tolonglah, kamu hanya ketua di dalam kumpulan yang kecil sahaja dan bukan besar mana pun. Kamu harus ingat! Jangan terlalu mementingkan diri sendiri. Ada kalanya, bagi mereka peluang untuk menyatakan pandangan mereka. Suka atau tidak kamu nyatakan dengan baik agar pandangan kamu itu diterima. Jangan pula kamu menengking dan menghamburkan kemarahan kamu akibat tidak berpuas hati.