8 Fakta Menarik Tentang Dr. Zakir Naik Penceramah Agama Tersohor Dari India

BERITA kunjungan penceramah agama tersohor dari India, Dr Zakir Abdul Karim Naik, telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam negara, dan lebih hangat dalam masa beberapa hari ini.


Sebahagian daripada masyarakat Malaysia amat ternanti-nanti akan kedatangannya malah ingin mengikuti majlis ceramah yang mengasah ketajaman pemikiran, khususnya tentang pemahaman dan penilaian berlandaskan perspektif agama Islam.



Namun, dalam masa yang sama, sebahagian lagi masyarakat menganggapnya sebagai 'ancaman', kerana kepetahannya berdebat dilihat 'boleh mencetuskan perbalahan dan ketegangan agama'.

Selepas berjaya menarik perhatian dengan kemunculan di Terengganu pada Ahad, Dr Zakir menjadi topik hangat apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar membuat keputusan agar ceramahnya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak diteruskan atas sebab ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia.

Penceramah yang melepasi usia setengah abad itu dijadual menyampaikan ceramah berjudul ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ (Persamaan Antara Hindu and Islam).

Isu Dr Zakir kini menjadi perbualan hangat di Malaysia, tetapi sejauh manakah kita mengenali beliau?

[Kemaskini] Dr Zakir Naik dibenarkan meneruskan sesi ceramahnya di Melaka Ahad ini, tetapi dengan tajuk yang berbeza. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia perlu lebih sesuai dan tidak menyentuh sesitiviti agama masyarakat di negara ini.

Ceramah boleh diteruskan, tetapi dengan tajuk berbeza


Dr Zakir bukan saja mampu memetik ayat dan penjelasan dari al-Quran dan hadis, malah mengetahui intipati kitab-kitab agama lain. 

Berikut senarai 8 fakta ringkas tentang penceramah tersebut:

1. Pendakwah Dari India
Dr Zakir Adbul Karim merupakan seorang ulama, penceramah dan pendakwah dari India yang sering menyampai ceramah mengenai Islam dan perbandingan agama di seluruh dunia. Beliau dilahirkan pada 18 Oktober, 1965 di Mumbai.

2. Seorang Doktor Perubatan 
Dr Zakir merupakan seorang doktor perubatan yang memperoleh ijazah Bachelor of Medicine and Surgery (MBBS) dari Mumbai. Pada tahun 1991, beliau mula bekerja dalam bidang dakwah, dan mengasaskan Islamic Research Foundation (IRF) .

3. Penilaian Kritis Dengan Jawapan Strategik
Dr Zakir merupakan seorang yang popular dalam membuat penilaian kritis dan memberi jawapan strategik kepada soalan-soalan yang mencabar yang diajukan oleh penonton selepas ceramahnya.

4. Beserta Sumber-Sumber
Menerusi ceramahnya, beliau menjelaskan sudut pandangan serta membetulkan pandangan salah terhadap ajaran Islam, dengan menggunakan al-Quran, hadis dan input relatif daripada kitab-kitab agama lain sebagai tambahan, bersama fakta saintifik.

5. Berpengalaman Lebih 2000 Ceramah
Menurut laman blog The Islamic Research Foundation (IRF), dalam tempoh 20 tahun (sehingga tahun 2014) Dr Zakir telah mengadakan lebih 2,000 sesi ceramah di seluruh dunia.




Antaranya ialah Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Itali, Perancis, Arab Saudi, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Botswana, Nigeria, Ghana, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong, China, Mauritius, Sri Lanka dan Maldives.

6. Rekod Perhimpunan Terbesar bagi Ceramah Agama
Pada bulan Mac 2012, sesi ceramah beliau di Kishanganj, Bihar, dihadiri lebih daripada sejuta orang, dan menjadi salah satu perhimpunan terbesar di dunia bagi ceramah agama yang hanya dikendalikan oleh seorang penceramah.

7. Pernah Mengadakan Ceramah Di Malaysia
Pada tahun 2012, Dr Zakir pernah mengadakan ceramah di Malaysia. Ceramah beliau berlangsung di Johor Bahru, Universiti Teknologi MARA, Kuantan dan Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.



8. Penerima Pelbagai Anugerah
Dr Zakir pernah menerima pelbagai anugerah dari pemimpin-pemimpin di seluruh dunia. Pada tahun 2013, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Dr Zakir dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2013M di Putrajaya.

He's The One and only, Dr. Zakir Naik

Kredit : AstroAwani

Post a Comment

Apa Kata Anda?

Previous Post Next Post