Perayaan di Malaysia tidak lengkap tanpa iklan-iklan menarik yang menceriakan semangat sambutan. Sejak adanya laman sosial dan pengaruh media digital yang sangat luas, siapa sahaja boleh mengarah iklan menggunakan kemudahan perisian yang ada di pasaran teknologi.
Iklan pun dah macam filem, kesan khas, efek dan visual yang menarik.
Jom Kita Selongkar 6 Iklan Sempena Deepavali 2018
1. Usikan keluarga oleh TNB
Iklan ini mengetengah salah satu unsur kebudayaan terpenting dalam amalan keluarga India yang melangsungkan perkahwinan, iaitu “Thale Deepavali”. Bagi pasangan yang baru berkahwin, Deepavali tahun pertama diwajibkan disambut di rumah sebelah isteri di mana keluarga isteri itu akan menjaga hati mempelai dengan menawarkan hadiah berupa emas, wang tunai, makanan yang enak serta layanan istimewa.
2. Pameran foto ‘Monochrome’ Petronas
Berbentuk filem pendek, ia mengisahkan fenomena keluarga, konflik pilihan kerjaya dan hobi di antara bapa dan anak lelakinya. Ia juga menyelitkan elemen kasih sayang si bapa, anak, ibu yang mana membawa pemahaman mendalam sesama watak tersebut.
Ia mengetengah minat dan cita-cita tidak semestinya sama dan tidak semestinya berbeza, apa yang penting adalah hati untuk memahaminya.
#PETRONASDeepavali2018
#PETRONASDeepavali2018
3. Kenangan Deepavali 80an, 90an Enrico’s beri kesan mendalam
Salah satu iklan Deepavali yang terbaik untuk tahun ini! Syarikat pengeluar tepung susu, Enrico’s membawa penonton khususnya mereka yang pernah menyusuri kehidupan estet atau kampung pada era 80an dan awal 90an. Seperti selalunya elemen keluarga, tradisi, budaya dan nilai murni menjadi konsep utama tetapi apa yang menarik ialah cara iklan ini mengekalkan setiap kenangan tahun ’emas’ termasuk penggunaan bahan dan barangan yang tepat.
Antara iklan yang sangat menyayat hati dan mempunyai mesej yang mendalam.
4. Kisah fantasi sebenarnya wujud dalam dunia realiti – RHB
Bank RHB membawa sebuah kisah animasi mengenai seekor beruang yang memulihkan kesakitan atau kesenggsaraan orang ramai terutama kanak-kanak dengan sifat mesra dan riangnya. Tetapi ia bukanlah sekadar kisah fantasi, RHB menerusi iklannya itu mengiktiraf kewujudan seorang doktor yang dikenali Dr. Teddy atau nama sebenar beliau, Dr.Madhusudhanan. Jika tahun lalu ia mengetengah elemen heroism pemain bola sepak, N.Thanabalan, tahun ini pula ia memperkenalkan Dr.Teddy kepada seluruh rakyat Malaysia.
5. Pertimbangan antara tradisi bapa dan kemodenan anak HLB
Hong Leong Bank menggunakan tarian klassik India, Baratha Natyam untuk membawa mesej “tradisi bertemu kemodenan” menerusi bingkisan “Appa’s Cheeky Dancer”. Ia menyerlahkan persamaan dan perbezaan antara 2 generasi dan bagaimana ia boleh dikompromi apabila kita saling memahami. Mesej yang mendalam tetapi dibawa secara bersahaja menggunakan tarian tradisional supaya ia lebih mudah difahami.
6. Chop, chop chop, daging kambing Seremban
Tak disangka pula, pembekal daging kambing juga membawa iklan Deepavali yang menarik. Dengan hanya menggunakan perhubungan suami-isteri sebagai penggerak utama, iklan ini membawa kepentingan nilai kesaksamaan dan sikap toleransi yang perlu diperap dalam menjayakan sesuatu, termasuk masak kambing yang sedap!
Kredit : freemalaysiatoday