24 Jenis Resipi Sambal Berapi Menyengat Citarasa Orang Malaysia

Jom Cuba! 24 Resipi Sambal Pelbagai Jenis Citarasa Orang Malaysia



Jika tekak Melayu, tak ada stok sambal di rumah memang tidak sah. Rasa tak lengkap je bila makan. Ibarat makan nasi tak cukup rasa. Haa.. Jangan buat main.

Selain sambal belacan, terdapat pelbagai lagi sambal homemade yang mudah dan sedap. Malah cara penyediaannya pun ringkas. Jadi, bolehlah pakat cuba. Dapur Kakzu ada kongsikan resipi-resipinya.

Terdapat 24 jenis sambal homemade pelbagai rasa yang boleh anda cuba setiap hari. Lepas ni pasti lebih berselera bila setiap kali menikmati juadah bersama keluarga. Selamat mencuba!

ANEKA RESIPI SAMBAL CITARASA MALAYSIA YANG SEDAP & MUDAH

1.SAMBAL TEMPOYAK


BAHAN-BAHAN:
1 biji cili masak
20 biji cili api
10 biji cili api siam merah
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula – kalau tempoyak dah manis tak letak gula pun tak apa
1/2 cawan ikan bilis – dibasuh
CARA MEMASAK:
1. Tumbuk / kisar dalam chopper kesemua bahan.
2.Bila sudah hacur, masukkan ikan bilis. Kisar lagi hingga separuh hancur.
3.Akhir sekali, satukan dengan tempoyak manis.


2. SAMBAL BELACAN SIAM


BAHAN-BAHAN:
2 biji cili masak
20 biji cili api
10 biji cili api merah siam
2 inci belacan
1 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil ajinomoto
Air asam secukupnya
5 sudu cuka makan
1/2 biji bawang holland
CARA MEMASAK:
1.Kisar kesemua bahan dalam pengisar tapi jangan sampai terlalu hancur.
2.Asamnya agak-agak, bergantung pada nak sambal cair atau sambal pekat. Sebijik rasa sambal kedai tomyam.

3.SAMBAL GESEK NEGERI 9


BAHAN-BAHAN:
30 biji cili burung kampung
4 biji cili api merah
1/2 cawan ikan bilis
1/4 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula jika suka
1 biji perahan limau nipis

CARA MEMASAK:
1.Tumbuk kasar cili api dengan garam dan gula. Jangan lumat sangat.
2.Kemudian masukkan ikan bilis. Tumbuk lagi hingga separuh hancur.
3.Akhir sekali perahkan air limau nipis.

4. SAMBAL GESEK BERAPI


BAHAN-BAHAN:
100 gm cili api merah
10 gm cili api
1/2 cawan kacang gajus/kacang tanah yang sudah dipanggang
2 ulas bawang putih
1 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk hilal
1/2 sudu teh ajinomoto
1/2 cawan minyak panas
BAHAN-BAHAN:
1. Gesekkan cili api dan bawang putih hingga hancur kasar.
2. Masukkan kacang, garam, gula, ajinomoto dan serbuk hilal.
Lenyekkan lagi.
3. Akhir sekali masukkan minyak panas. Panas sampai sambal tu berdesir ya. Kuantiti minyak boleh ubah suai jika nak sambal yang lebih lembab.

5. SAMBAL NYOR

BAHAN-BAHAN:
20 biji cili api
20 gm belacan – bakar jika nak lebih sedap
1/2 cawan ikan bilis – basuh & rendam sekejap supaya lembut
1 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil garam
2 biji perahan limau kasturi
1 1/2 cawan kelapa parut putih
CARA MEMASAK:
1. Tumbuk @ kisar cili api, belacan, gula dan garam hingga halus.
2. Masukkan ikan bilis dan tumbuk lagi.
3. Masukkan kelapa dan tumbuk hingga kelapa tu nampak basah.
4. Akhir sekali perahkan limau kasturi dan gaul semua bahan hingga bergaul rata.

6. SAMBAL TOTOK JAWA


BAHAN-BAHAN:
1 cawan ikan bilis siap kopek
25 biji cili api
4 biji cili merah ( potong 4 )
2 labu bawang besar
4 biji bawang putih
1 inci belacan
Minyak
Gula & garam secukup rasa
Perahan limau nipis ( jika suka ya )
CARA MEMASAK:
1. Goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan.
2. Goreng bawang, bawang putih, cili api dan cili (masak sekali) dalam kuali. Angkat.
3. Goreng belacan. Angkat.
4. Tumbuk / kisar kesemua bahan kecuali ikan bilis. Dah agak hancur baru masukkan ikan bilis. Ikan bilis biar kasar kasar baru sedap.
5. Masukkan perahan limau jika suka.

7.SAMBAL HIJAU


BAHN-BAHAN:
25 biji cili hijau (300 gm)
70 gm cili akar
2 biji bawang besar
2 biji buah tomato muda
1 cawan minyak
CARA MEMASAK:
1. Kukuskan cili hijau, cili api, bawang besar dan buah tomato hingga layu sahaja.
2. Kisar kasar atau gesek kesemua bahan dalam lesung batu.
3. Panaskan minyak dan tumiskan bahan sambal sehingga naik minyak.
4. Perasakan dengan garam dan sedikit gula serta ajinomoto.

8. SAMBAL MANGGA

BAHAN-BAHAN:
1 biji cili masak
20 biji cili api
10 biji cili api siam
1/2 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
Belacan
Buah mangga / bacang / kuinin yang diracik
CARA MEMASAK:
1.Tumbuk / kisar kesemua bahan kecuali mangga. Jangan masuk air tau.
2.Bila sudah hancur baru masukkan mangga dan tumbuk atau kisarkan lagi. Hidangkan.


9. SAMBAL KACANG


BAHAN-BAHAN:
1 cawan kacang tanah
4 biji bawang kecil
20 biji cili kering
1/4 inci belacan
2 sudu makan gula
1 sudu kecil garam
2 cawan air asam jawa cair
CARA MEMASAK:
1. Gorengkan kacang tanah hingga garing. Angkat.
2. Gorengkan juga cili kering, bawang kecil dan belacan secara berasingan.
3. Kisar kacang, bawang , belacan dan cili kering hingga halus. Kalau nak kisar kasar pun boleh, ikut citarasa.
4.Masukkan air asam jawa dan sesuaikan rasa dengan gula serta garam serta kepekatan sambal kacang yang diingini.

Nota:Kacang tanah tak perlu buang kulit.
Sambal kacang pekat pekat sedap dibuat kuah pecal.
Jika nak makan dengan cucur udang, boleh cairkan sedikit.
Nak kurangkan pedas kurangkan kuantiti cili kering.

10. SOS LIMAU THAI


BAHAN-BAHAN:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
20 biji cili api
10 biji cili api merah
2 biji perahan air limau nipis
Kulit limau – dipotong dadu
2 sudu besar sos ikan
2 sudu besar gula apung/ gula pasir
1 biji tomato (potong dadu)
Daun ketumbar
CARA MEMASAK:
1.Tumbuk / kisar cili padi dan bawang besar dan bawang putih hingga halus.
2.Kemudian masukkan gula, sos ikan dan perahan air limau nipis bersama kulitnya ke dalam cili tadi. Gaul hingga sebati.
3.Masukkan tomato dan daun ketumbar. Masukkan sedikit air jika perlu. Gaul sebati

Nota: Sos thai biasanya sedap dimakan dengan kerang/ udang / sotong yang direbus atau grill. Buat kerabu maggi pun sedap.

11. SAMBAL BELACAN NENEK


BAHAN-BAHAN:
30 biji cili api hijau
2 inci belacan
1/4 sudu teh garam
1 sudu teh gula
2 biji perahan limau nipis
CARA MEMASAK:
1.Tumbuk / kisar cili api, gula, garam dan belacan.
2.Akhir sekali, perahkan air perahan limau nipis. Sebatikan.

12. SAMBAL GORENG


BAHAN-BAHAN:
10 biji cili api merah
30 biji cili api
1 labu bawang besar
1 inci belacan
1 cawan ikan bilis
3/4 cawan minyak
Petai
1 sudu teh gula
1/2 sudu teh garam
1/4 sudu teh ajinomoto
CARA MEMASAK:
1.Tumbuk / kisar kasar semua bahan kemudian tumis hingga naik minyak dan garing.
2. Sesuaikan rasa dengan menambah garam dan sedikit gula
3. Boleh tambah petai juga.

13. SAMBAL KICAP CILI LIMAU


BAHAN-BAHAN:
1 biji cili hijau
1 biji cili merah
10 biji cili api
10 biji cili api merah
1 labu bawang besar (hiris nipis)
Air perahan limau
Kicap secukupnya
CARA MEMASAK:
1.Hiris semua jenis cili, satukan kesemua bahan dan sebatikan.
2. Kalau nak sedap, guna kicap sahaja tanpa air. Kalau nak tambah air pun boleh juga jika suka.

14. SAMBAL PETAI TEMPOYAK


BAHAN-BAHAN:
20 biji cili api
10 biji cili api merah
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1/ 2 cawan ikan bilis
150gm tempoyak
1 helai daun kunyit di hiris nipis
Petai
1 labu bawang besar (hiris)
1/2 cawan santan pekat
1 cawan air
1/2 cawan minyak
2 sudu teh garam
1/2 sudu teh ajinomoto
CARA MEMASAK:
1. Tumbuk / kisar bawang besar, cili api dan bawang putih hingga hancur. Tumis hingga garing.
2.Masukkan tempoyak, bawang hiris dan ikan bilis yang ditumbuk kasar.
3. Masukkan santan dan air. Reneh hingga masak.
4. Masukkan daun kunyit dan perisakan garam dan ajinomoto. Boleh masukkan petai juga.

15. SAMBAL AYAM PENYET


BAHAN-BAHAN:
10 biji cili masak
20 biji cili api merah
2 labu bawang besar
1 biji buah tomato
5 ulas bawang putih
2 sudu teh gula
2 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk hilal
2 cawan minyak
CARA MEMASAK:
1. Gorengkan kesemua bahan hingga layu. Kemudian kisar hingga hancur.
2. Guna minyak yang sama, gorengkan sambal yang siap dikisar tadi hingga garing dan terbit bau.
3.Perasakan dengan gula serta garam dengan secukupnya.

Nota: Jika nak sambal yang lebih pedas boleh kurangkan cili merah, lebihkan cili api. Selepas dimasak boleh buangkan sedikit minyak yang bertakung.

16. SAMBAL KICAP ASAM


BAHAN-BAHAN:
Air asam jawa sederhana pekat
Cili api – ditumbuk
Kicap
Gula
CARA MEMASAK:
1.Sebatikan semua bahan dan sesuaikan rasa masam, manis serta pedasnya.
Tidak perlu letak garam.

Nota: Sambal ni sedap dimakan dengan ikan atau ayam bakar

17. SAMBAL BELACAN SUNQUICK


BAHAN-BAHAN:
3 biji cili masak
1 biji cili hijau
10 biji cili api
5 biji cili api merah
25 gm belacan
2 sudu oren sunquick
1/4 cawan air tapis @ air asam jawa
2 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil garam
2 biji perahan air limau kasturi
CARA MEMASAK:
1. Tumbuk / kisarkan semua cili, garam dan belacan. Tumbuk biar kasar-kasar sikit
2. Masukkan air dan sunquick.
3. Akhir sekali, perah air perahan limau kasturi. Sebatikan.

18. SAMBAL KICAP


BAHAN-BAHAN:
30 biji cili api
4 biji bawang kecil
2 ulas bawang putih
Kicap manis
Sedikit gula
CARA MEMASAK:
1. Gorengkan bawang, cili api dan bawang putih hingga layu.
2. Masukkan ke dalam blender dan masukkan kicap sehingga boleh dikisar. Masukkan juga sedikit gula.
3. Jika nak makan dengan soto atau tauhu begedil, buat sambal kicap pekat.
Jika nak makan dengan goreng pisang boleh tambah air atau kicap sepenuhnya tanpa air.

19. SAMBAL TEMPOYAK MASAK


BAHAN-BAHAN:
100 gm tempoyak
15 biji cili api merah
10 biji cili api
1/2 cawan ikan bilis
Petai
Daun kunyit
CARA MEMASAK:
1. Tumbuk cili api. Kisar atau tumbuk juga ikan bilis tapi jangan hancur. Kasar sahaja.
2. Satukan tempoyak, cili api dan ikan bilis. Masak atas api hingga terbit bau.
3. Masukkan sedikit air dn ubah suai kepekatan sambal.
4.Jika suka masukkan daun kunyit.
5. Perasakan dengan garam dan gula.
6.Akhir sekali masukkan petai. Masak lagi sambil dikacau. Siap.

20. SAMBAL TEMPOYAK BLENDER

BAHAN-BAHAN:
10 biji cili api
10 biji cili api merah
100 gm tempoyak
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula
1/2 cawan air
CARA MEMASAK:
1. Satukan kesemua bahan dan kisarkan hingga sebati dan hancur. Siap untuk dinikmati.


21. SAMBAL LIMAU


BAHAN-BAHAN:
1 biji cili masak
20 biji cili api
10 biji cili api siam
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula
Belacan
2 biji limau nipis
CARA MEMASAK:
1. Tumbuk / kisar kering kesemua bahan dan akhir sekali perahkan perahan limau.
2.Jangan masukkan air ye nanti sambal cepat berubah rasa. Simpan dalam peti sejuk supaya tahan lama.


22. SAMBAL TOMATO


BAHAN-BAHAN:
3 biji cili masak
1 biji cili hijau
10 biji cili api
5 biji cili api merah
25 gm belacan
1 biji buah tomato size besar – kalau kecik guna 2 biji
3 ulas bawang putih
1/4 cawan air tapis @ air asam jawa
2 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil garam
2 biji perahan air limau kasturi
CARA MEMASAK:
1. Ambil tomato dan potong nipis.
2. Tumbuk / kisar semua cili, garam, bawang putih dan belacan serta air. Biar kasar-kasar sedikit.
2. Kemudian masukkan buah tomato dan tumbuk/ kisar lagi. Harus ingat, buah tomato jangan sampai hancur ya. Biar kasar baru lebih terasa.
3. Akhir sekali, perahkan air perahan limau kasturi.


23. KUAH ASAM KERISIK


BAHAN-BAHAN:
Kerisik
Gram
Gula
Perasa
Limau kasturi – belah 2
BAHAN-BAHAN (HIRIS):
Cili api hijau
Cili api merah
Cili masak
Bawang besar
Buah tomato
BAHAN KISAR:
Bawang besar
Cili api
BAHAN LAIN:
Air asam jawa
Belacan
(Lenyek & ramas dua bahan ni dengan air)
CARA MEMASAK:
1.Satukan semua bahan dalam bekas bersesuaian.
2.Masukkan kerisik dan sesuaikan rasa dengan menambahn gula, garam serta perasa. Gula harus dilebihkan sedikit berbanding bahan lain.
3.Msukkan juga limau ksturi yang dibelah 2. Sedia untuk dinikmati.

Nota: Sukatannya agak-agak Sahaja ikut cita rasa


24. SAMBAL PICIT


BAHAN-BAHAN:
Air asam jawa
Cili api
Belacan
Garam
Gula
Ajinomoto
Limau nipis – jika suka:
CARA MEMASAK:
1.Satukan semua bahan dan tenyeh-tenyehkan. Jika suka boleh tambah perahan limau nipis.
2.Untuk menikmatinya, masukkan isi ikan pelaling rebus. Nikmati segera.

Kredit resipi & foto: Dapur Kakzu 
 

Post a Comment

Apa Kata Anda?

Previous Post Next Post