10 Filem Hollywood Yang Gagal Mencapai Kutipan Box-Office

Bukan semua syarikat produksi di Hollywood mampu menghasilkan filem berkualiti dan mencapai cita rasa penonton.

Setiap tahun, banyak filem gagal menambat hati penonton berikutan menggunakan bajet rendah, plot cerita lemah, persembahan kurang mantap pelakon dan masalah lain.

Berikut antara 10 filem luar negara yang dikatakan mempunyai jalan cerita teruk selain gagal mencapai kutipan box-office.

1. HIGHLANDER 2: THE QUICKENING (1991)

Filem pertama Highlander mengetengahkan jalan cerita lebih menarik yang menggabungkan kejadian mistik purba dengan masyarakat moden.

Bagaimanapun, pengarah Russell Mulcahy dikatakan berdepan pelbagai cabaran apabila kembali mengarah filem kedua ini.

Selain plot cerita yang didakwa lemah, pelakon Christopher Lambert turut dikhabarkan dipaksa kembali berlakon.

Bukan itu saja, Lambert dan Michael Ironside masing-masing mengalami kecederaan sewaktu penggambaran.

Situasi bertambah teruk apabila penerbit mula campur tangan sehingga mengubah sebahagian besar kisah filem itu daripada idea asal Mulcahy.



2. GLITTER (2001)

Selepas pembikinan filem ini ditunda beberapa kali, penyanyi Mariah Carey bersama penulis skrip Cheryl West dan pengarah Vondie Curtis Hall berganding untuk mengembangkan plot cerita.

Hasilnya, gandingan mereka dikatakan menghasilkan kisah klise yang sudah diketengahkan filem lain dan karikatur industri hip hop iaitu mengisahkan si miskin menjadi kaya raya.

Muzikal itu dikatakan gagal dari segi persembahan pelakon, melodrama serta jalan cerita rumit.

FROM JUSTIN TO KELLY (2003)



Antara sebab filem ini dikatakan memberi hasil tidak berkualiti disebabkan sikap tamak pihak produksi yang mahu bajet rendah tetapi untung besar.

Pengkritik mengutuk dengan keras tindakan produksi mengambil kesempatan populariti program realiti American Idols dengan mengiklankan filem itu sebagai The Tale of Two American Idols.

Selepas melihat hasil From Justin to Kelly, 20th Century Fox bertindak mahu menayangkan filem itu di televisyen, namun perancangan terbabit dikecam pihak pawagam.

Namun, apabila filem terbabit mula menerima sambutan dan kemudian tayangan diberhentikan pihak pawagam, 20th Century Fox mengambil tindakan untuk menerbitkannya dalam bentuk DVD bagi membiayai kos.

CATWOMAN (2004)


Inspirasi daripada kejayaan siri Batman menyebabkan Warner Bros menghasilkan adiwira wanita daripada komik DC.

Dalam usaha pengarah Pitof membawa Catwoman ke layar perak, dia dikatakan membuat beberapa pengubahsuaian dari cerita asal, sekali gus membuat peminat komik DC hilang keterujaan untuk menonton filem itu.

Dia juga gagal mengembangkan watak Patience Philips dan menghasilkan kisah yang profeminis yang pasti boleh menarik minat penggemar filem.

Filem ini menelan bajet AS$100 juta dan hanya memperoleh hasil jualan sebanyak AS$82.1 juta.

THE LAST AIRBENDER (2010)


Walaupun M Night Shyamalan mengarah dan menulis kartun Avatar yang mencapai kejayaan besar, dia dikatakan gagal memberi hasil terbaik untuk filem ini yang diadaptasikan daripada karya itu.

The Last Airbender menerima kritikan kerana produksi menggunakan pelakon kulit putih untuk menjayakan watak etnik.

Lebih menyedihkan, filem terbabit turut tidak diiktiraf pencipta Avatar, Michael Dante DiMartino dan Bryan Konietzko.

JACK AND JILL (2011)


Sebelum ditayangkan di pawagam, sinopsis filem ini tidak mendedahkan Adam Sandler melakonkan kedua-dua watak Jack dan Jill.

Waalupun filem ini ada beberapa babak lucu, penonton mengkritik pengarah Dennis Dugan terhadap setiap elemen dalam Jack and Jill.

Disebabkan itu, populariti Sandler dikatakan semakin menurun akibat filem terbabit.

ALONE IN THE DARK (2005)



Filem adaptasi permainan video Alone in the Dark ini didakwa teruk kerana jalan cerita mengelirukan penonton, selain persembahan lemah pelakon.

Lebih teruk, penulis layar Blair Erickson menuduh pengarah Uwe Boll tiada bakat dalam menghasilkan filem berkualiti.

Dia turut menuduh pengarah itu menggunakan kesan khas komputer tidak berkualiti, wanita terlampau seksi dan sinematografi klise.

UNITED PASSIONS (2015)
Mempertaruhkan kejohanan bola sepak Piala Dunia, filem arahan Frederic Auburtin ini didakwa sebagai cerita korporat yang syok sendiri. Ini berikutan 90 peratus bajet pembikinan filem terbabit dibiayai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sendiri.

Auburtin pula mengetepikan desas-desus lama mengenai korupsi dalam kalangan FIFA sebaliknya memilih untuk mengetengahkan cerita positif.

Oleh kerana United Passions menjulang kehebatan bekas Presiden FIFA, pengkritik menganggap filem ini tidak telus, naif dan kurang lengkap.

MEET THE SPARTANS (2008)


Komedi ini memaparkan sekumpulan individu yang hanya berpakaian dalam berusaha melindungi negara mereka dari serangan orang Persia.

Walaupun ada babak lucu, filem ini dikatakan teruk kerana menyelitkan dialog menjadikan golongan gay sebagai bahan lawak.

Namun begitu, Meet The Spartans yang turut memparodikan beberapa karakter berjaya memasuki Box Office Amerika Syarikat dan mengutip jualan tiket sebanyak AS$84.6 juta.

NINE LIVES (2016)

Filem komedi ini mengisahkan Tom Brand mendapati dirinya dalam tubuh seekor kucing selepas tersedar daripada kemalangan jalan raya ngeri.

Barisan pengkritik mendakwa filem itu tiada elemen lawak selain cenderung membuat orang ramai benci terhadap kucing.

Walaupun mengetengahkan pelakon terkenal Kevin Spacey dan Jennifer Garner, filem itu mendapat penilaian rendah oleh Rotten Tomatoes iaitu sebanyak 14 peratus.

Kredit : HarianMetro

3 Comments

Apa Kata Anda?

Previous Post Next Post