10 Hidangan Pelengkap Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Selain daripada memohon kemaafan di pagi raya dan menziarahi sanak saudara, Hari Raya Aidilfitri bagaikan tidak lengkap tanpa hidangan kegemaran ramai. 


Terdapat pelbagai makanan istimewa yang khusus untuk menyambut Hari Raya. Mana satu kegemaran anda? Jom kita selongkar..

1. KETUPAT / KETUPAT PALAS
Apalah makna beraya tanpa ketupat… Hidangan tradisi ini bagaikan satu kewajipan di Hari Raya sehinggakan sarung ketupat yang kosong juga dianggap ikonik dan digunakan sebagai hiasan Aidilfitri. Terdapat beberapa jenis ketupat seperti ketupat nasi (berbentuk empat segi), ketupat palas (berbentuk tiga segi) dan ketupat dakap (yang menggunakan daun pisang).


Paling popular di Hari Raya semestinya ketupat nasi dan ketupat palas. Ketupat nasi dimasak menggunakan beras biasa atau beras wangi bagi membangkitkan aroma yang harum. Beras yang dibasuh bersih diisi padat di dalam anyaman daun kelapa dan direbus. Ketupat palas pula dibuat menggunakan beras pulut yang diisi di dalam anyaman daun palas dan distim. Juadah terbaik untuk dimakan bersama kedua-dua ketupat ini tentunya rendang ayam atau serunding daging.


KUAH LODEH 
Ramai yang sukakan ketupat dengan rendang, tetapi jika anda mahukan kelainan, kuah lodeh amat sesuai dijamah bersama ketupat. Kuah lodeh yang berlemak boleh dikatakan seperti gulai kerana resipinya menggunakan santan. Isi kuahnya meriah dengan kacang panjang, lobak merah, kobis, suhun, tempe dan tauhu. Kuah lodeh yang berwarna kekuningan ini dilazatkan lagi dengan sambal atau kuah kacang.

Foto : Ardina Humaira

RENDANG
Jika masyarakat Barat mempunyai “stew”, masyarakat Melayu di Malaysia mempunyai rendang. Persamaan kedua-duanya ialah cara memasak yang lama di atas api atau slow cooking.

Untuk hidangan ini, daging lembu dimasak bersama santan di atas api yang perlahan, memberikannya aroma dan rasa yang lazat. Selain daripada daging lembu, ayam rendang juga pilihan popular. Hidangan ini sesuai dimakan dengan apa jua jenis karbohidrat putih, sama ada nasi putih, ketupat atau roti.



DODOL
Manisan ini adalah antara ‘gula-gula rasmi’ untuk Hari Raya. Jika perlu diggambarkan kepada yang belum mencubanya, dodol itu bagaikan toffee, melekit dan manis, dibuat daripada santan, gula kabung dan tepung beras. Bukan mudah untuk membuat dodol di zaman dahulu kerana anda perlu mengacaunya untuk tempoh yang lama di dalam kawah tetapi dengan teknologi hari ini, pembuatan dodol menjadi lebih mudah. Hari ini, anda boleh dapati dodol dalam pelbagai perisa seperi durian atau cokelat.

Foto : MyKitchen101
  
KUIH BANGKIT
Hampir setiap rumah akan menghidangkan kuih tradisional ini sewaktu sambutan raya. Bahan-bahan untuk membuat kuih bangkit sangat mudah, iaitu tepung ubi, telur dan santan. Ramuan tersebut kemudiannya dibakar sehingga aroma yang wangi ‘bangkit’. Setiap gigitan kuih bangkit adalah rangup tetapi dalamnya bertekstur rangup dan cair di dalam mulut.

Foto : Lokataste 

KUIH TART NENAS
Populariti kuih tart nenas semasa Hari Raya tidak dapat disangkal. Tentunya agak susah untuk anda berhenti memakan tart nenas dan pasti mahukan lebih dari satu. Ada tart nenas gulung, tart nenas bunga dan ada juga tart nenas yang berbentuk seperti nenas! Yang penting, lapisan luarannya mesti gebu dan dikunyah dengan inti jem nenas yang manis.

SATE
Sama ada ayam, daging, ikan atau kambing, pastinya ada sesuatu untuk semua orang. Sate adalah hidangan yang amat versatil. Meskipun jarang dilihat di pagi Syawal yang pertama, sate senang didapati di rumah terbuka sepanjang sambutan Hari Raya. Sate dibuat dengan membakar daging pilihan dengan cucuk sate di atas api dan ia dimakan dengan kuah kacang. Makanan sampingan yang melengkapkan juadah ini adalah ketupat, kepingan bawang merah dan timun.

SERUNDING
Serunding adalah antara makanan yang boleh tahan dalam tempoh yang lama kerana ia dimasak sehingga kering. Tidak mustahil jika serunding yang dihidangkan semasa Hari Raya mampu bertahan sehingga selepas bulan Syawal. Sesetengah resipi serunding akan memasukkan sedikit kelapa parut. Anda boleh menikmati serunding bersama ketupat, lontong atau lemang.

Foto: Hajiwan Serunding

ROTI JALA

Membuat roti jala bagaikan satu seni kerana lenggok tangan semasa menggunakan acuan.

Roti jala bagaikan ‘crepe’ masyarakat Melayu. Lapisan kuning yang nipis dan berlubang-lubang kemudiannya digulung dan dimakan dengan kari atau kuah kacang.

LEMANG
Makanan wajib semasa Hari Raya pastinya lemang. Cara membuat lemang ialah dengan memasak beras pulut bersama santan di dalam buluh dan dibakar menggunakan kayu api. Lemang yang terbaik ialah lemang yang lembut apabila digigit dan mempunyai rasa lemak dari santan dan cukup masinnya. Lemang paling sesuai dinikmati bersama rendang.

Foto : Lifestyle Asia Hong Kong


Kesemua juadah Hari Raya ini semestinya amat menyelerakan terutamanya selepas sebulan berpuasa tetapi jangan lupa kesederhanaan itu penting untuk keseimbangan diri.

Post a Comment

Apa Kata Anda?

Previous Post Next Post